BH Online: PMW raih tambahan kontrak TNB bernilai RM64.37 juta
November 10, 2026 @ 8:35pm
KUALA LUMPUR: Nilai keseluruhan kontrak PMW International Bhd dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat kepada RM148.05 juta selepas syarikat itu memperoleh tambahan kontrak bernilai RM64.37 juta.
Kontrak berkenaan diperoleh menerusi perjanjian tambahan kedua antara anak syarikat PMW, PMW Concrete Industries Sdn Bhd (PCISB), dengan TNB bagi meneruskan pembekalan dan penghantaran tiang konkrit berputar dalam pelbagai saiz sehingga Disember 2027.
PMW dalam satu kenyataan berkata, tiang berkenaan akan digunakan bagi menyokong peluasan rangkaian pengagihan elektrik TNB.
Perjanjian tambahan kedua itu mempunyai nilai sama dengan kontrak awal yang dimeterai pada Januari 2025, iaitu RM64.37 juta. PMW turut memperoleh kontrak nilai pilihan berjumlah RM19.31 juta sebelum ini.
Gabungan kontrak awal, kontrak nilai pilihan dan perjanjian tambahan kedua menjadikan keseluruhan nilai kontrak berjumlah RM148.05 juta.
Setakat pengumuman dibuat, PCISB sudah menghantar tiang konkrit bernilai RM60.19 juta di bawah kontrak awal, sekali gus meninggalkan baki kontrak kira-kira RM87.86 juta.
Kontrak nilai pilihan dan perjanjian tambahan kedua dilihat sebagai penambahan pesanan bagi memenuhi keperluan infrastruktur rangkaian pengagihan TNB, selain menyokong keterlihatan pendapatan PMW bagi tahun kewangan berakhir 2027.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa, berkata kontrak tambahan itu mencerminkan keyakinan TNB terhadap kemampuan teknikal, mutu produk dan keupayaan penghantaran kumpulan.
“Perjanjian tambahan kedua dengan TNB ini mencerminkan kepercayaan, kerjasama dan kebolehpercayaan terhadap kemampuan teknikal, kualiti serta kapasiti penghantaran Kumpulan PMW bagi memenuhi keperluan khusus rangkaian pengagihan TNB,” katanya.
Hon Hwa berkata, baki kontrak kira-kira RM87.86 juta dijangka menyumbang secara positif kepada buku pesanan kumpulan dan memberi keterlihatan hasil yang berterusan, khususnya bagi tahun kewangan berakhir 2027.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pengeluaran dan kapasiti tambahan selepas kemudahan pengeluaran yang dirancang siap dijangka membantu kumpulan mencapai skala ekonomi lebih baik. PMW kini mempunyai kemudahan pembuatan di Ipoh, Kota Kinabalu dan sebuah kemudahan baharu yang bakal dibangunkan di Tanjung Manis, Sarawak.
PMW turut berhasrat memanfaatkan pengalaman dalam projek elektrifikasi untuk meneroka sektor infrastruktur elektrik lain, termasuk integrasi tenaga boleh baharu dan sektor tenaga baharu.
