DagangNews: PMW raih lanjutan tiga tahun perjanjian bekalkan tiang konkrit kepada EDOTCO

OLEH JOHARDY IBRAHIM | editor@dagangnews.com

Kuala Lumpur 30 Sept – PMW International Berhad memperoleh lanjutan tiga tahun bagi perjanjian membekalkan tiang konkrit kepada empat anak syarikat EDOTCO Group Sdn Bhd sehingga April 2029, meneruskan kerjasama yang menyaksikan PMW membekalkan tiang konkrit monopole bernilai kira-kira RM10 juta sejak 2024. 

PMW berkata, anak syarikat milik penuhnya, PMW Marketing Sdn Bhd, menandatangani perjanjian tambahan dengan empat anak syarikat EDOTCO itu bagi melanjutkan perjanjian rangka kerja induk sedia ada. 

Nilai lanjutan penjanjian tersebut tidak didedahkan, manakala bekalan akan datang tertakluk kepada pesanan pembelian yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. 

Perjanjian asal yang ditandatangani pada Mei 2024 meliputi reka bentuk, fabrikasi dan pembekalan tiang konkrit empar mengikut keperluan teknikal EDOTCO. 

Sejak kerjasama itu bermula, PMW dan anak-anak syarikatnya telah membekalkan tiang konkrit monopole untuk 292 tapak. EDOTCO merupakan pelanggan utama kumpulan dalam sektor telekomunikasi. 

Produk yang meliputi perjanjian itu termasuk tiang konkrit empar setinggi sehingga 30 meter, tiang konkrit prategasan yang dipertingkat dengan biorang serta tiang konkrit monopole untuk kegunaan infrastruktur telekomunikasi. 

Terus menyokong pembangunan infrastruktur telekomunikasi 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, lanjutan itu menyediakan rangka kerja untuk kumpulan terus memenuhi keperluan tiang konkrit EDOTCO sehingga April 2029. 

Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO, Gayan Koralage berkata, kerjasama tersebut menyokong keupayaan syarikat memenuhi perubahan keperluan kesalinghubungan perniagaan dan masyarakat melalui tumpuan terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan penambahbaikan berterusan. 

Lanjutan perjanjian itu mengukuhkan kedudukan PMW dalam sektor infrastruktur telekomunikasi, melengkapi penglibatannya dalam projek pusat data Google serta Projek Infrastruktur Titik Kehadiran Fasa 2 dan Hab Gentian Optik, yang dikenali sebagai POP2. 

PMW mengeluarkan tiang dan cerucuk konkrit empar prategasan serta mereka bentuk dan memfabrikasi acuan dan mesin. Kumpulan membekalkan produknya kepada sektor elektrik, telekomunikasi, infrastruktur dan pencahayaan di Malaysia. 

Kumpulan mempunyai kemudahan pembuatan di Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah, dengan sebuah lagi kemudahan akan diwujudkan di Tanjung Manis, Sarawak. – DagangNews.com

https://www.dagangnews.com/article/terkini/pmw-raih-lanjutan-tiga-tahun-perjanjian-bekalkan-tiang-konkrit-kepada-edotco-75052