BHarian: PMW International bina kilang cerucuk konkrit bernilai RM43.76 juta di Perak

PMWgroundbreak 1784098766
Hon Hwa (tengah) pada majlis pecah tanah Fasiliti Bemban di Kawasan Perindustrian Bemban, Perak - Foto ihsan PMW International

Oleh Rafhanah Hazirah Ramlin – Julai 15, 2026 @ 2:59pm

KUALA LUMPUR: PMW International Bhd memperkukuh strategi pengembangan jangka panjangnya menerusi pembinaan kemudahan pembuatan cerucuk konkrit berputar baharu di Bemban, Perak bernilai kira-kira RM43.76 juta yang dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran syarikat itu.

Kemudahan yang dikenali sebagai Fasiliti Bemban atau ‘Bemban Facility’ itu dibangunkan di atas tanah perindustrian seluas kira-kira 12 ekar di Kawasan Perindustrian Bemban, Perak dan dijangka mula beroperasi secara komersial pada suku ketiga 2027.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW International, Lee Hon Hwa, berkata pembinaan kilang kelima kumpulan di Ipoh itu menandakan peralihan penting daripada perancangan kepada pelaksanaan bagi salah satu projek pengembangan utama syarikat.

“Fasiliti Bemban dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat menjadi dua kali ganda serta membolehkan kami menyokong pelanggan dengan lebih baik menerusi rangkaian pembuatan di seluruh negara.

“Kemudahan berkenaan akan meningkatkan fleksibiliti operasi kumpulan selain membolehkan PMW memenuhi permintaan pelanggan dalam sektor pengangkutan, utiliti, telekomunikasi dan perindustrian.

“Kami percaya PMW berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan pertumbuhan pelaburan infrastruktur Malaysia dan mencipta nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pecah tanah Fasiliti Bemban,

Majlis pecah tanah itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Anugerah antara anak syarikat milik penuh PMW International, PMW Winabumi Sdn Bhd (PWSB), dengan ECJ Construction Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan utama kemudahan berkenaan.

PWSB turut menerima kemudahan pembiayaan daripada Maybank Islamic Bhd dengan had agregat RM54.5 juta bagi menyokong pembangunan projek itu, termasuk kos pembinaan, pembelian mesin pengeluaran, kemudahan kredit pusingan serta pembiayaan perdagangan.

Sementara itu, kerja pembinaan Fasiliti Bemban bernilai kira-kira RM14.2 juta telah diserahkan kepada ECJ Construction, dengan kerja-kerja dijadualkan bermula pada 15 Julai 2026 dan akan siap pada suku pertama 2027.

Apabila siap sepenuhnya, kemudahan itu direka untuk menghasilkan kira-kira 40,000 tan cerucuk konkrit berputar sebulan, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan daripada 238,000 tan kepada 718,000 tan.

PMW International berkata, peningkatan kapasiti itu akan mengukuhkan keupayaan kumpulan membekalkan produk asas infrastruktur kepada projek infrastruktur, perindustrian dan kejuruteraan di kawasan Utara serta Tengah Semenanjung Malaysia.

Menurut syarikat itu lagi, lokasi strategik kemudahan berkenaan turut dijangka meningkatkan kecekapan logistik, memendekkan tempoh penghantaran serta menyokong pertumbuhan pangkalan pelanggan.

Dalam perkembangan sama, PMW International kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang disokong pelaburan berterusan sektor awam dan swasta dalam pembangunan pengangkutan, utiliti, industri, telekomunikasi serta infrastruktur digital.

Antara inisiatif pengembangan kumpulan termasuk pembangunan kemudahan Tanjung Manis di Sarawak, pembaharuan perjanjian bekalan jangka panjang dengan CTS Horizon Sdn Bhd, pesanan bekalan cerucuk konkrit berputar bernilai RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn Bhd bagi projek infrastruktur di Perak serta perjanjian bekalan bernilai RM11.84 juta untuk Projek Infrastruktur Point of Presence Fasa 2 dan Hab Gentian Optik (POP2).

Syarikat juga mempunyai kemudahan pembuatan di Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah selain kemudahan baharu yang dirancang di Tanjung Manis, Sarawak.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/07/1588417/pmw-international-bina-kilang-cerucuk-konkrit-bernilai-rm4376-juta