PMW peroleh tempahan RM11.9 juta bekal cerucuk konkrit projek pembinaan jalan di Perak

649284775 1476538197815788 5859106715799056053 n

Oleh AMREE AHMAD (amree @dagangnews.com) 

KUALA LUMPUR 25 Mei – PMW International Berhad memperoleh tempahan bernilai RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn Bhd bagi pembekalan cerucuk konkrit berputar prategasan projek pembinaan jalan di Perak. 

Ia diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, PMW Industries Sdn Bhd pada 8 Mei 2026, manakala kebenaran untuk membuat pengumuman kepada bursa diterima daripada pelanggan pada 25 Mei 2026.

Katanya, tempahan melibatkan pembekalan cerucuk tersebut bagi projek pembinaan jalan penghubung dari Lebuhraya Meru Raya (FT240) ke persimpangan Lebuhraya Ipoh-Lumut (FT005) di Jelapang. 

“Projek terbaharu berkenaan dijangka meningkatkan kesalinghubungan laluan darat antara koridor pengangkutan utama serta kawasan ekonomi sekitar daerah kinta,” maklum PMW kepada Bursa Malaysia. 

Tempoh penghantaran dilaksanakan mengikut keperluan projek dan arahan dikeluarkan SL Virtue dari semasa ke semasa, dengan dijangka selesai dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. 

Syarikat itu berkata, cerucuk dihasilkan mengikut spesifikasi dan standard teknikal ditetapkan untuk projek infrastruktur dan pembinaan di Malaysia, termasuk piawaian ketat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

PMW mengjangkakan yang kontrak tersebut akan dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan bersih kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan yang berkahir pada 31 Disember 2026. 

“Pada masa sama, tempahan ini dijangka mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen prasarana dan pembinaan, khususnya pembekalan produk konkrit untuk projek pembangunan jalan raya,” tambahnya. 

Ia turut mencerminkan peningkatan penglibatan kumpulan dalam projek infrastruktur di Semenanjung Malaysia, disokong oleh kapasiti pembuatan, pengalaman operasi serta rekod prestasi yang kukuh. 

Selain itu, PMW mengekalkan prospek positif terhadap sektor pembinaan berikutan pelaksanaan serta perancangan pelbagai projek pembangunan, yang dijangka terus menyokong pertumbuhan perniagaan. 

Lembaga Pengarah kumpulan tersebut berpandangan pesanan berkenaan adalah dalam urusan perniagaan biasa syarikat dan berada dalam kepentingan terbaik kumpulan. – DagangNews.com

https://www.dagangnews.com/article/terkini/pmw-peroleh-tempahan-rm119-juta-bekal-cerucuk-konkrit-projek-pembinaan-jalan-di-perak-69371