PMW International sambung kontrak bekalan tiang telekomunikasi dengan CTS Horizon

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Mei – PMW International Berhad terus mengukuhkan dalam sektor infrastruktur telekomunikasi selepas memperoleh pembaharuan kontrak pembekalan daripada CTS Horizon Sdn Bhd yang meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi beberapa tahun akan datang.
Syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, PMW Winabumi Sdn Bhd telah menerima pembaharuan Perjanjian Bekalan Tiang Konkrit pada 30 April 2026.
“Pembaharuan ini adalah kesinambungan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak yang telah terjalin sejak 2017, dengan beberapa pembaharuan kontrak sebelum ini mencerminkan hubungan kukuh serta keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan PMW.
“Perjanjian tersebut melibatkan pembekalan tiang konkrit bagi menyokong pembangunan infrastruktur telekomunikasi, khususnya di Sabah yang kini giat melaksanakan peluasan rangkaian fiber dan 5G,” katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak berkenaan berkuat kuasa selama tiga tahun bermula 12 Disember 2025, dengan pilihan lanjutan selama dua tahun lagi tertakluk kepada persetujuaan bersama antara kedua-dua pihak.
Di bawah struktur penjanjian itu, pesanan akan dikeluarkan secara berperingkat melalui pesanan pembelian, sekali gus menyediakan aliran permintaan yang lebih konsisten kepada PMW sepanjang tempoh kontrak.
Pendekatan tersebut juga memberi kelebihan dari segi keterlihatan pendapatan kerana ia disokong oleh permintaan berulang daripada aktiviti pembinaan, naik taraf dan penyelenggaraan rangkaian telekomunikasi.
Pada masa sama, mekanisme harga yang fleksibel membolehkan pelarasan dibuat selaras dengan perubahan kos input, sekali gus membantu mengekalkan margin keuntungan syarikat.
CTS Horizon merupakan antara penyedia rangkaian transmisi gentian optik utama di Sabah dan Labuan, selain menyokong operasi pengendali telekomunikasi utama seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communication dan merupakan usaha sama antara CelcomDigi, Qhazanah Sabah Berhad serta Hugold Success Sdn Bhd.
Syarikat itu juga merancang pelaburan kira-kira RM316.3 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk peluasan rangkaian fiber ke rumah melibatkan sekitar 120,000 premis, di samping pelaksanaan kerja perlindungan rangkaian gentian optik melibatkan kira-kira 800 kilometer infrastruktur kabel.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata perkembangan tersebut dijangka memacu permintaan berterusan terhadap komponen infrastruktur sokongan seperti tiang konkrit yang dibekalkan oleh PMW, selaras dengan pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperkukuh liputan 4G dan mempercepatkan rollout 5G di selurug negara.
“PMW sebelum ini turut memainkan peranan dalam menyokong penyempurnaan awal projek School Point of Presence Fasa 2 (School POP2) yang membantu Sabah muncul antara negeri terawal dengan kesiapsiagaan rangkaian 5G tanpa gangguan bekalan tiang.
“Pembaharuan kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap kualiti produk dan keupayaan penghantaran syarikat, selain membuka peluang untuk memperluaskan kerjasama ke wilayah lain seperti Sarawak dan Kalimantan seiring strategi pertumbuhan CTS dalam infrastruktur digital generasi baharu,” katanya. – DagangNews.com
